Galeri Ketiga
Mempamerkan tentang kegiatan intelektual di istana dan rakyat dengan mempamerkan artifak seperti manuskrip dari Sejarah Melayu, Batu Bersurat Terengganu serta cerita-cerita rakyat. Di samping itu, di aras ini turut mempamerkan kedaulatan dan kekuasaan Raja-Raja Melayu dan pembesar tempatan. Ini dapat dilihat menerusi diorama Kerjan Undang Luak Jelebu. Selain itu, terdapat juga artifak lain yang menjadi simbol kedaulatan seperti keris kuasa, tengkolok, sumber perundangan, singahsana Yang Dipertuan Agong pertama serta amalan undang-undang adat (native court) di Sarawak seperti orang Iban.
Galeri Keempat
Mempamerkan segmen khusus tentang Adat Perpatih secara historikal yang bermula dari Sumatera (Alam Minangkabau) sehingga bertapak di Negeri Sembilan yang disokong dengan artifak seperti keris, tepak sireh, peti kayu untuk merantau, lesung indik, bujam epok dan lain-lain.
Selain itu, pada segmen ini turut memperlihatkan keutuhan dari Adat Perpatih dari sudut struktur sosial seperti Datuk Lembaga Berlapan, peranan Ibo Soko yang dimanifestasikan menerusi diorama dan artifak. Segmen Adat Perpatih turut menonjolkan tentang sistem tanah adat serta simbol ritual menerusi replika batu megalith, Pengkalan Kempas.
Objektif Penubuhan Muzium
Menghimpunkan beberapa aspek kehidupan masyarakat Malaysia yang boleh di anggap sebagai adat. Mempamerkan secara menarik aspek-aspek kehidupan adat melalui artifak dan naratif yang dijalin penceritaan berserta persembahan yang bermotivasi.
Memberi pengetahuan melalui naluri pengamatan kepada masyarakat Malaysia yang berbilang kaum tentang aspek-aspek menarik adat dalam menjalin kehidupan yang mengandungi nilai-nilai positif.
Mengimbas kembali serta mengetahui sebanyak sedikit tentang kebudayaan atau cara hidup sesuatu masyarakat di tanah air sendiri.