MENU

DOKUMEN YANG PERLU DIBAWA SEMASA MEMPERBAHARUI LESEN

  1. Satu keping gambar berwarna berukuran passport
  2. Salinan resit bayaran pemeriksaan alat pemadam api (bomba)
  3. Salinan sijil kursus asas pengendali makanan yang sah (perniagaan makanan & minuman sahaja )
  4. Sijil suntikan kesihatan (ty2) untuk pelesen & pembantu-pembantu (perniagaan makanan & minumam sahaja)
  5. Salinan bil cukai taksiran yang telah dijelaskan setengah tahun kedua 2009
  6. Lesen asal 2010/ lesen papan iklan 2010
  7. Salinan pendaftaran perniagaan (SSM)

Syarat-Syarat Permohonan

  1. Syarikat perniagaan atau perniagaan tunggal hendaklah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM)
  2. Permohonan hendaklah dibuat dengan menggunakan borang permohonan lesen premis dengan mengemukakan bersama dokumen pra-syarat seperti berikut:
    • 1 Salinan Pendaftaran Syarikat / Perniagaan / Pertubuhan (Borang 9 & 49 atau Borang D beserta maklumat perniagaan & pemilik)
    • 1 Salinan kad pengenalan / pasport pemohon
    • 1 Visual iklan papan tanda berwarna dan gambar lokasi pemasangan iklan (Jika berkenaan)

Syarat-Syarat Kelulusan

  1. Premis yang di gunakan hendaklah mematuhi dan memenuhi syarat asas Jabatan Perancang dan Kawalan Bangunan dan mempunyai kelulusan perancang atau Perintah pembangunan(development order- DO)
  2. Premis yang digunakan hendaklah mematuhi dan memenuhi syarat dan kehendak asas bahagian Kawalan Bangunan dan mempunyai kelulusan pelan bangunan dan sijil layak menduduki bangunan (CF / TCF)
  3. Premis yang digunakan hendaklah mematuhi dan memenuhi syarat dan kehendak asas Jabatan Kesihatan
  4. Premis yang digunakan hendaklah mematuhi dan memenuhi syarat dan kehendak keselamatan Jabatan bomba Malaysia
    • Mengadakan Sistem Kawalan Keselamatan Kebakaran
    • Bangunan di tingkat satu keatas yang mempunyai tangga tunggal tidak dibenarkan menjalankan perniagaan
    • Premis untuk kegunaan bagi aktiviti- aktiviti perniagaan tertentu seperti premis untuk hiburan hendaklah mendapat sokongan Jabatan Polis

Syarat-Syarat Lesen

  1. Premis perniagaan yang dilesenkan hendaklah digunakan untuk aktiviti perniagaan seperti yang tercatit dalam lesen
  2. Lesen perniagaan hendaklah sentiasa di pamerkan di tempat / di dinding yang mudah di lihat
  3. Aktiviti perniagaan hendaklah di jalankan dalam premis sahaja dan dilarang sama sekali menggunakan kaki lima atau kawasan persekitaran.
  4. Bangunan premis yang di lesenkan tidak boleh diubahsuai tanpa kebenaran. Sila hubungi Jabatan Perancang dan Kawalan Bangunan untuk tujuan tersebut
  5. Kebersihan hendaklah sentiasa dijaga samada didalam /di luar bangunan
  6. Mengambil langkah-langkah tertentu untuk memastikam aktiviti perniagaan yang di jalankan tidak mendatangkan pencemaran alam sekitar, kacauganggu bunyi, bau busuk dan halangan.
  7. Tong sampah yang mencukupi di sediakan dan sampah sarap hendaklah di masukkan ke dalam beg-beg plastik sebelum di buang ke dalam tong
  8. Pemeliharaan binatang di dalam premis seperti anjing, kucing, ayam dan sebagainya adalah di larang

BAHAGIAN MANAKAH YANG BERTANGGUNGJAWAB DALAM URUSAN CUKAI TAKSIRAN (CUKAI PINTU), DI MAJLIS DAERAH JELEBU

Bahagian yang dipertanggungjawabkan ke atas urusan yang berkaitan dengan cukai taksiran (cukai pintu) ialah :-

  1. Bahagian Kewangan
  2. Bahagian Kewangan

BAHAGIAN PENILAIAN :

Bahagian ini diketuai oleh Penolong Pegawai Penilaian dan dibantu oleh Pembantu Penilaian. Bahagian ini bertanggungjawab dalam:-

  1. Membuat penilaian ke atas pegangan (harta) yang dikenakan cukai.
  2. Menyediakan senarai nilaian harta.
  3. Mengeluarkan bil cukai taksiran.
  4. Mengeluarkan notis tuntutan cukai taksiran, Borang E.
  5. Mengeluarkan Waran tuntutan dan Inventori
  6. Membuat sitaan.

Nombor telefon ialah 06-6136991 / 06-6136479

BAHAGIAN KEWANGAN :

Bahagian ini diketuai oleh Penolong Akauntan dan dibantu oleh Kerani Hasil. Bahagian ini bertanggungjawab dalam perkara berikut :-

  1. Mengeluarkan bil tuntutan cukai taksiran.
  2. Menerima pembayaran cukai taksiran.
  3. Mengambil tindakan-tindakan yang diperuntukan oleh undang - undang ke atas pemilik (tuanpunya) harta jika cukai taksiran tidak dijelaskan.

Nombor telefon ialah 06-6136991/06-6136479

APA DIA "CUKAI TAKSIRAN"

Banyak istilah yang digunakan dalam menyebut perkara ini. Antaranya ialah "kadar" dan "cukai pintu". Istilah yang paling meluas digunakan ialah "cukai pintu".

"Cukai taksiran atau cukai pintu" pada amnya adalah dikenakan pada semua pegangan (harta) yang terletak di dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Jelebu. Ianya adalah merupakan cukai ke atas perkhidmatan bandar yang disediakan secara langsung atau tidak langsung kepada pemilik-pemilik pegangan (harta) di kawasan Majlis.

Kutipan "cukai taksiran" adalah diperlukan bagi menampung perbelanjaan dalam memberi kemudahan dan perkhidmatan kepada penduduk-penduduk di dalam kawasan pentadbiran Majlis.

APAKAH ASAS YANG DIGUNAKAN DALAM MENGENAKAN CUKAI TAKSIRAN KE ATAS SESUATU PEGANGAN (HARTA)

Ada dua asas yang diperuntukan oleh perundangan (Akta kerajaan Tempatan 1976) iaitu "nilai tahunan" dan "nilai tambah". Penggunaan antara dua asas taksiran ini adalah terletak kepada pilihan Penguasa Tempata itu sendiri setelah mendapat persetujuan dari Pihak Berkuasa Negeri.

Di Negeri Sembilan pada keseluruhannya asas taksiran yang digunakan ialah "nilai tahunan".

"Nilai Tahunan" secara amnya boleh didefinisikan seperti berikut :

  1. TANAH KOSONG

    5%-10% daripada nilai pasaran harta berkenaan, Jika nilai pasaran harta tanah itu berjumlah RM 100,00.00 makan nilai tahunannya ialah RM 10,000.00. Majlis Daerah Jelebu menetapkan pengiraan nilai tahunan pada paras minima iaitu 10%.

  2. TANAH YANG BERBANGUNAN

    Bagi lot-lot tanah yang mempunyai bangunan di atasnya seperti rumah kedai atau rumah teres, pengiraan bagi memdapatkan nilai tahunan adalah dibuat dengan menganggarkan jumlah kasar sewa tahunan yang boleh didapati dari hartaa berkenaan (tanah dan bangunan).

    Contoh : Nilai tahunan bagi rumah teres di Taman KSM ialah sebanyak RM 2,160.00. Ia merupakan jumlah kasar sewa tahunan yang dianggarkan didapati dari rumah teres berkenaan iaitu pada kadar purata sewa sebanyak RM 180.00 sebulan.

BAGAIMANA HENDAK MENGIRA JUMLAH CUKAI TAKSIRAN YANG PERLU DIBAYAR

Contoh : Nilai Tahunan bagi sebuah rumah teres di kawasan perumahan Taman KSM ialah RM 2,160.00. Kadar taksiran bagi kawasan ini ialah 10%. Jadi jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar setahun sebanyak RM 216.00 setahun. Bayaran ini adalah termasuk bayaran perkhidmatan bandar yang diberi seperti angkat sampah, tangki najis dan api tepi jalan.

APA DIA KADAR TAKSIRAN

Kadar taksiran adalah merupakan peratus (%) cukai yang dikenakan ke atas sesuatu kawasan oleh Majlis Daerah Jelebu dengan persetujuan Kerajaan Negeri.

Kadar taksiran secara langsung adalah merupakan alat dalam menentukan jumlah bayaran yang perlu dibayar serta bebanan yang perlu ditanggung oleh sesuatu pegangan (harta) berkenaan.

SIAPA YANG PATUT MEMBAYAR CUKAI TAKSIRAN

Di Malaysia bebanan membayar cukai taksiran adalah ditanggung oleh tuan punya pegangan (harta).

BILA SESUATU PEGANGAN (HARTA) ITU BOLEH DIKENAKAN CUKAI TAKSIRAN

Sesuatu pegangan (harta) itu dikenakan cukai taksiran setelah terletak di dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.

APAKAH DIA PEGANGAN (HARTA) YANG BOLEH DIKENAKAN CUKAI TAKSIRAN

Menurut Seksyen 2 Akta Kerajaan Tempatan 1976, pegangan (harta) bererti mana-mana tanah yang ada atau tidak ada bangunan di atasnya, yang dipegang di bawah satu hakmilik yang berasingan dan mengenai bangunan-bangunan yang pecah bahagi, ertinya harta bersama dan mana-mana petaknya.

jadi sebagai rumusan bolehlah kita katakan bahawa rumah kediaman, rumah kedai, stesen minyak, panggung wayang, hotel dan tanah kosong adalah pegangan yang boleh dikenakan cukai taksiran.

APAKAH DIA PEGANGAN (HARTA) YANG DIKECUALIKAN DARI DIKENAKAN CUKAI TAKSIRAN

Pegangan (harta) yang dikecualikan dari dikenakan cukai taksiran ialah apabila sesuatu pegangan (harta) atau mana-mana bahagiannya digunakan semata-mata untuk maksud berikut :-

  1. Sebagai tempat awam untuk sembahyang.
  2. Sebagai tanah perkuburan atau krematorium awam yang berlesen.
  3. Bagi sekolah awam.
  4. Sebagai tempat awam bagi maksud khairat atau bagi maksud sains, sastera atau seni halus.

Apa yang dimaksudkan dengan pegangan (harta) di atas tadi ialah pegangan (harta) yang digunakan bukan untuk mendapatkan keuntungan wang.

APAKAH BANTAHAN YANG BOLEH DIKEMUKAKAN OLEH PEMILIK PEGANGAN (HARTA) YANG DIKENAKAN CUKAI TAKSIRAN HARTA

Antara alasan-alasan yang membolehkan pemilik pegangan (harta) membuat bantahan mengenai pegangan (harta) mereka adalah seperti berikut :-

  1. Bahawa sesuatu pegangan yang baginya ia dikenakan cukai taksiran adalah dinilai lebih daripada nilainya yang boleh dikenakan cukai taksiran;

  2. Bahawa sesuatu pegangan yang dinilai adalah pegangan yang dinilai adalah pegangan yang tidak boleh dikenakan cukai taksiran;
  3. Bahawa seseorang atau sesuatu pegangan yang sepatutnya termasuk dalam senarai nilaian itu adalah ditinggalkan daripadanya;
  4. Bahawa sesuatu pegangan adalah dinilai kurang daripada nilainya yang boleh dikenakan cukai taksiran; atau
  5. Bahawa sesuatu pegangan atau pegangan-pegangan yang telah dinilai secara bersama atau berasingan sepatutnya dinilai secara lain.

Segala bantahan akan disiasat dan mereka yang membuat bantahan akan diberi peluang untuk didengar dalam penyiasatan itu sama ada secara kasar bersendirian atau melalui wakil atau agen yang diberi kuaasa.

Secaranya amnya semua bantahan hendaklah dikemukan dalam tempoh masa yang ditentukan seperti berikut :-

  1. Dalam urusan penilaian semula harta di mana "Notis Menyemak Senarai Nilaian" dihantarkan kepada setiap pemilik harta.

  2. Dalam urusan pindaaan ke atas senarai nilaian di mana "Notis Kenyataan, Pindaaan Senarai Nilaian" dihantarkan kepada setiap pemilik harta.

Bantahan hendaklah dikemukakan selewatya-lewatnya sepuluh (10) hari sebelum tarikh ditetapkan bila "Yang Dipetua" akan meminda senarai nilaian.

PERINGATAN :

  1. Adalah menjadi tanggungjawab pemilik pegangan (harta) untuk menyiasat sendiri akan kedudukan pegangan (harta) mereka sama ada sudah disenaraikan atau belum di dalam senarai nilaian Majlis
  2. Dari itu alasan yang menyatakan bahawa mereka tidak ketahui bahawa harta mereka berada dalam kawasan pentadbiran Majlis dan seterusnya mereka tidak menerima apa-apa notis mengenai nilai tahunan pegangan (harta) mereka tidak boleh dilayan.
  3. Oleh yang demikian, jika ada di antara pemilik pegangan (harta) yang masih belum menerima apa-apa maklumat mengenai kedudukan hartanya sama ada telah disenaraikan atau belum di dalam senarai nilaian Majlis hendaklah membuat semakan dan siasatan di Bahagian Penilaian Majlis. Ini bagi mengelakkan tunggakan dan tindakan undang-undang.

BILA CUKAI TAKSIRAN PERLU DIJELASKAN

  1. Setengah tahun pertama      -       1 Januari hingga 28 Februari
  2. Setengah tahun kedua         -       1 Julai hinggan 31 Ogos

Jika bayaran tidak dijelaskan dalam tempoh masa tersebut ianya adalah dikira sebagai tunggakan. Denda lewat bayar dikenakan ke atas bayaran tunggakan.

APAKAH TINDAKAN YANG AKAN DIAMBIL JIKA CUKAI TAKSIRAN TIDAK DIBAYAR ATAU DIJELASKAN

Langkah pertama Pihak Berkuasa Tempatan dalam menuntut tunggakan ialah Pihak Berkuasa Tempatan akan mengeluarkan waran tahanan. Waran ini membenarkan Pihak Berkuasa Tempatan untuk menyitakan apa-apa harta alih (moveable property) kepunyaan pemunya atau penduduk yang terdapat pada pegangan (harta) yang terlibat.

Sekiranya pada pendapat pegawai yang melaksanakan waran itu nilai harta alih yang hendak ditahan itu kurang daripada tunggakan yang hendak dituntut atau tiada apa-apa harta alih yang boleh ditahan, maka Pihak Berkuasa Tempatan boleh memohon kepada Pendaftar Mahkamah Tinggi untuk menahan dan menjual pegangan tersebut.

Jika tunggakan dan kos (perbelanjaan menahan harta yang ditahan) gagal dibayar oleh pemunya dalam tempoh masa tujuh hari dari tarikh tahanan itu dibuat maka harta atau pegangan yang ditahan itu boleh dijual dengan cara lelong awam.

DENDA YANG BERSABIT DENGAN PEGANGAN YANG DIKENAKAN CUKAI TAKSIRAN

Barang siapa yang melakukan kesilapan berikut :-

  1. Enggan atau tidak memberi penyata atau maklumat yang dikehendaki oleh Pihak Berkuasa Tempatan dalam tempoh dua (2) minggu dari tarikh diterima notis mengkehendakinya berbuat demikian.

  2. Dengan diketahuinya (secara sengaja) membuat suatu penyata palsu atau tidak betul atau memberi suatu maklumat palsu atau tidak betul kepada Pihak Berkuasa Tempatan.
  3. Merintangi, menghalang atau menahan Pihak Berkuasa Tempatan atau seseorang yang dilantik olehnya daripada memasuki, memeriksa atau mengukur mana-mana pegangan yang terletak di dalam kawasannya.
  4. Tidak memberi notis kepada Pihak Berkuasa Tempatan tentang pindah milik harta dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikah pindah milik itu dibuat.
  5. Tidak memberi notis kepada kepada Pihak Berkuasa Tempatan tentang kematian pemilik sesuatu pegangan dan seterusnya nama pemilik yang baru (waris kepada si mati yang mewarisi pegangan berkenaan).
  6. Tidak memberi notis kepada Pihak Berkuasa Tempatan dalam tempoh lima belas (15) hari tentang sesuatu bangunan baru didirikan, sesuatu bangunan dibina semula, dibesarkan, diubah, dibaiki, dibarui atau sesuatu bangunan yang telah kosong diduduki semula.

Antara disabitkan akan kesalahannya akan dikenakan :-

  1. Denda tidak lebih daripada RM 2,000.00 (Dua Ribu) atau
  2. Penjara selama tempoh tidak lebih daripada 6 bulan (enam bulan) atau
  3. Denda dan penjara itu kedua-duanya sekali