MENU

Sebelum penubuhan Majlis Daerah Jelebu, terdapat beberapa Penguasa Tempatan seperti Lembaga Bandaran Kuala Klawang, Majlis Tempatan Titi dan Majlis Tempatan Pertang. Pengwujudan Majlis-Majlis Tempatan dan Lembaga-Lembaga Bandaran yang kecil ini bukan sahaja kecil dari segi bilangan penduduknya, malah amat kurang sumber kewangan dan punca pendapatan.

Justeru itu, ianya menjejaskan keupayaan untuk menjalankan kegiatan yang memuaskan dan berkesan dalam bidang ekonomi ditambah pula dengan kekurangan kakitangan. Hampir dua puluh lima (25) tahun Majlis-Majlis Tempatan dan Lembaga Bandaran ini telah menjalankan kegiatan dan perkhidmatan kepada masyarakat di kawasannya, banyak masalah-masalah yang timbul. Disamping menanggung beban kewangan yang begitu ketara, Majlis-Majlis Tempatan ini tidak dapat menjalankan usaha-usaha pembangunan kawasan seperti kampung tradisional, tanah lapang, kawasan pertanian dan ekonomi dan sosial di kawasannya. Justeru itu kerajaan negeri telah mengambil satu langkah proaktif untuk mewujudkan satu Majlis Daerah.

Akhirnya Majlis Daerah Jelebu telah diisytiharkan dengan rasminya pada 28 Ogos 1980 melalui Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang mempunyai keluasan kawasan 1,368 km persegi. Ia terbahagi kepada 2 kawasan iaitu keluasan kawasan operasi 48.17 km persegi yang meliputi kawasan seperti pekan-pekan kecil, taman-taman perumahan, kampung baru dan sebagainya. Manakala keluasan kawasan kawalan adalah 59.56 km persegi yang meliputi sebahagiannya. Merancang, menyelaras dan merealisasikan segala aktiviti ekonomi sedia ada dan memperkenalkan idea kreatif yang berpotensi untuk memastikan Jelebu tidak ketinggalan dari arus pembangunan tanpa menjejaskan keharmonian alam flora dan fauna bagi mengekalkan bumi nan hijau lagi damai dan tenang selaras pusat ‘agro-tourism' yang terunggul.