Masjid Kampung Dulang
Terletak di Kg. Peninjau iaitu kira-kira 0.5 km dari pekan Kuala Klawang. Ia merupakan masjid tertua di daerah Jelebu dan diasaskan oleh Dato' Nika dan Mudim Khatib Raja pada awal abad ke-16. Mereka merupakan orang muslim dari Minangkabau.
Pada asalnya masjid ini telah dibina tanpa menggunakan paku. Masjid ini mendapat namanya daripada satu peristiwa aneh yang berlaku di masjid ini. Dipercayai pada satu ketika dahulu terdapat sebuah dulang aneh yang sentiasa berisi makanan yang cukup untuk semua jemaah.
Siapa yang menyediakan makanan tersebut tidak diketahui dan peristiwa tersebut berterusan sehinggalah dulang aneh itu ghaib secara tiba-tiba. Pada hari ini, masjid ini masih lagi digunakan dengan aktif. Walaupun beberapa perubahan telah dilakukan terhadap masjid ini, keaslian struktur asalnya masih lagi dapat dilihat hingga ke hari ini.