MENU

 

Sejarah Penubuhan Muzium Adat

Muzium Adat (Jabatan Muzium Malaysia) di Kuala Klawang, Jelebu ini terletak kira-kira 36 km dari Bandar Seremban. Muzium ini ditubuhkan pada tahun 2005 dan dirasmikan pada 2 Februari 2008 iaitu pada hari sabtu bersamaan 24 Muharram 1429 hijrah.

Kewujudan Muzium Adat di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan adalah bersesuaian dan bertepatan dengan identiti Negeri Sembilan sebagai "Tanah Beradat". Muzium Adat ini merupakan muzium pertama di negara kita yang menghimpunkan adat dari pelbagai etnik di Malaysia.

Muzium ini turut mengkhaskan satu segmen khusus tentang Adat Perpatih bagi menonjolkan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri beradat.

Galeri Pertama

Tumpuan diberikan kepada pengenalan dan konsep adat di Malaysia. Ia meliputi sejarah awal tercetusnya adat terbesar di Alam Melayu iaitu Adat Perpatih dan Temenggung menerusi replika Batu Batikam dan Batu Baling, artifak atau peralatan upacara adat serta pakaian adat dari pelbagai kaum di Malaysia.

Galeri Kedua

Mempamerkan adat-adat yang dikaitkan dengan kitaran hidup manusia termasuk kelahiran, perkahwinan, kematian dan kegiatan ekonomi serta amalan ritual seperti bobohizan, adat turun perahu, perubatan tradisional dan juga menifestasi adat menerusi peralatan muzik.