MENU

   

Makam Moyang Salleh

Pada masa Moyang Salleh menjadi Undang Jelebu putuslah perhubungan di antara Jelebu dengan Johor. Jelebu bertukar kepada sebuah luak yang merdeka dan tidak lagi tertakluk di bawah kuasa kerajaan Johor. Zaman Moyang Salleh bin Datuek Matunggang mengandungi banyak cerita lisan, terutama yang layak dikategorikan sebagai lagenda.  

Apabila Sultan Johor mendengar berita kecantikan Seri Banun itu, baginda pun melahirkan hajat untuk meminang si jelita Rembau itu lalu menghantar utusan ke Rembau meminang Seri Banun untuk dijadikan isteri baginda. Tetapi apabila utusan Sultan Johor itu sampai ke Rembau, mereka diberitahu bahawa pinangan Sultan Johor itu tidak dapat diterima kerana Seri Banun telah ditunangkan dengan seorang pemuda di Rembau. Utusan Sultan Johor balik ke Johor lalu mempersembahkan ke bawah Sultan Johor bahawa Seri Banun telah bertunang. Sultan Johor pun murka lalu memerintahkan Orang Kaya Kecil Undang Rembau itu datang menghadap baginda. Undang Rembau enggan mematuhi perintah Sultan Johor dihantarnya seorang anak lelakinya bernama Si Amat menghadap Sultan Johor.

Apabila Si Amat sampai di Johor dia pun menghadap Sultan Johor tetapi beliau serta-merta dibunuh oleh Sultan itu kerana perintah baginda berkehendakkan Undang Rembau datang sendiri ke Johor telah diabaikan. Berita Si Amat dibunuh Sultan itu menggemparkan seluruh Luak Rembau dan luak-luak yang lain. Apabila berita itu terdengar oleh Moyang Salleh di Jelebu beliau berasa amat aib kerana salah seorang undang luak telah dianiaya dan diberi malu bagaikan ‘dipalit arang di muka'. Setelah memaklumkan pendiriannya kepada Orang Kaya Kecil, Undang Rembau, Undang Jelebu itu lalu mengarahkan angkatannya pergi ke negeri Johor dengan membawa empat orang hulubalang gagahnya yang bernama Tok Beruang Hitam, Tok Laut Api, Tok Bauk dan Tok Gagah Lela Perkasa. Tujuan Moyang Salleh ialah hendak menuntut bela seperti yang disebut dalam Adat Perpatih "Cincang mampas, bunuh beri balas".

Akhirnya Moyang Salleh pun sampai di Johor Lama lalu menuju ke istana sultan. Rombongan dari Jelebu itu pada awalnya tidak diperkenankan oleh Sultan Johor. Moyang Salleh terus membawa rakan-rakannya duduk di atas sebuah busut di hadapan istana. Sultan tidak membenarkan juga mereka masuk ke dalam istana. Khabar berkata, pada masa itu juga turunlah hujan tidak berhenti-henti. Sultan Johor hairan melihatkan Moyang Salleh mencampakkan bajunya ke udara dan baju itu terus kembang menjadi payung melindungi mereka daripada hujan. Oleh sebab Sultan Johor takut melihat kesaktian itu baginda pun membenarkan rombongan dari Jelebu masuk dan duduk di Balai Melintang. Baginda masih enggan juga membenarkan mereka masuk menghadap.

Tok Beruang Hitam yang meradang telah memamah-mamah tiang-tiang di istana itu. Tok Laut Api terbatuk-batuk sambil mengeluarkan api berkepul-kepul dari mulutnya. Hingga semua penghuni istana Sultan Johor pedih mata dan cemas. Tok Bauk pula menggoncang-goncangkan istana itu sehingga penghuni istana merasa bagai digoncang gempa bumi. Kerana ketakutan, Sultan Johor lantas meminta supaya Moyagn Salleh serta hulubalangnya masuk menghadap. Anehnya, Moyang Salleh tidak pula membangkitkan isu berkaitan pembunuhan Si Amat anakanda Undang Rembau. Sebaliknya Moyang Salleh menyatakan bahawa kedatangannya itu keran menuntut merdeka supaya Jelebu tidak lagi berada di bawah naungan Johor.

Keesokan hari dalam satu pertemuan yang dihadiri oleh Orang Besar-Besar dari Jelebu serta Orang Besar-Besar Johor, Sultan Johor pun mengistiharkan Moyang Salleh menjadi raja dengan gelaran Datuk Mendalika Menteri Akhirul Zaman Sultan Jelebu. Mulai dari itu juga Moyang Salleh tidak perlu menyembah mana-mana raja. Moyang Salleh boleh mengeluarkan perintahnya sendiri dalam wilayah perintahnya di Jelebu dan tidak perlu lagi menerima naungan atau perintah daipada Sultan Johor.

 

Dari Petikan Buku Jelebak - Jelebu(corat-coret anak kampung)

 

« Kembali